Thursday 19 May 2011

Masjid,Baring dan Tidur

Semalam aku berjalan-jalan sesusai mendapat berita bahawa kuliahku dibatalkan.Bertapa sebentar kedai buku Fajar Ilmu Baru di Wisma Yakin.Sempatlah jua khatam sebiji buku,yelah,tuan dia memang dah tau perangai aku,dari 10 kali ziarah 3 kali je membeli buku. Kemudian aku merenung jam tangan Rm50 aku tu. "Dah nak Zuhur ni..."-aku bermonolog,kononnya. Memandangkan masjid India adalah masjid bermadzhab Hanafi,jadi mereka solat Zuhur agak lewat,maka aku langsung sahaja berjalan ke Masjid Jamek Kuala Lumpur.


Sampai di Masjid,sepertimana kebiasaan yang dilakukan oleh setiap orang yang berziarah ke masjid, aku melaksanakan solat tahiyyatul masjid,sepertimana,saranan Rasulullah Shallallahu 'Alayhi wa Sallam,di dalam hadith berikut:
Daripada Abu Qatadah al-Sulami radhiyallahu 'anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:"Jika salah seorang di antara kalian masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk." – (H.R al-Bukhari no: 444.)


Usai solat,dengan waktu berbaki hampir 15 minit sebelum azan,maka aku pun merebahkan badanku ke marmar putih masjid yang dingin itu,tambahan pula,dengan belaian angin sepoi-sepoi bahasa,memang terasa damai dan menyamankan,terasa besar sungguh nikmat Allah di dunia ini.Tiba-tiba,ada seseorang menghulur tangan seraya berjabat tangan dengan aku,maka terjadilah dialog tanpa skrip di bawah ini:
"Assalamualaikum,dik,maaf ya,tak boleh baring dekat masjid"
"Oh,ok,maaf ya"
Urgh..terbantut istirehatku sebentar,lantas membuatkan aku hairan dan tertanya-tanya.Mengapakah aku tidak dibenarkan baring di situ,padahal aku berbaring di bahagian beranda masjid di bahagian luar,bukannya di dalam ruangan berkarpet.Terkenang-kenang peristiwa ketika berada di Masjidil Haram,Masjidin Nabawi, aku melihat manusia bukan sekadar baring,bahkan tidur berjemaah  di dalamnya tanpa halangan mahupun bantahan.Itu masjid yang paling Afdhal di dunia tu,tapi di masjid ini,aku dilarang berbuat demikian.Kecewa sungguh aku.


Sebenarnya,baring mahupun tidur didalam masjid,tidaklah tercela mahupun dilarang,kerana Nabi Shallallahu 'Alayhi wa Sallam pernah berbaring di masjid.Bahkan para sahabat ada yang tidur di Masjid dan ia tidak dingkari oleh Rasulullah Shallallahu 'Alayhi wa Sallam.Berikut aku bawakan hadith-hadithnya:
'Dari 'Abbad bin Tamim,dari pakciknya,bahawasanya dia melihat Rasulullah Shallallahu 'Alayhi wa Sallam tidur terlentang di Masjid dengan meletakkan salah satu kakinya di atas kaki yang lain.(H.R Bukhari 475,Muslim 2100) Al-Khattabi mengoomentari hadith ini dengan mengatakan "Ia menunjukkan kebolehan bersandar,berbaring,tidur dan segala bentuk istirehat di dalam Masjid"(Fathul Bari,1/729)


Dari Abdullah ibn Umar Radhiyallahu 'Anhu dia berkata:Adalah kami,tidur di dalam masjid di zaman hayat Nabi Shallallahu 'Alayhi wa Sallam,sedang kami ini muda-mudi lagi(masih bujang) (HR At-Tirmidzi,beliau mengatakan hadith ini Hasan Sahih)


Para sahabat Ahlus-Suffah juga,sering bermalam di Masjid Nabi seperti yang disebut didalam hadith riwayat Imam Al-Bukhari (Hadith no 442).Al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan bahawa diperbolehkan tidur di dalam masjid,da ia adalah pendapat jumhur ulama'(Fathul Bari, 1/694) 


Jadi,kesimpulannya berbaring di masjid mahupun tidur bukan satu kesalahan.Dan aku tak marah pada petugas masjid yang menegur aku ketika berbaring itu.Dia hanya menjalankan arahan.Aku berharap sangat agar pihak masjid dapat menjernihkan kembali tentang hukum berbaring dan tidur di dalam Masjid.Dan rata-rata yang berbaring,bukan baring di dalam dewan solat pun!Sekian sahaja luahan perasaaan aku. 


p/s:memang padan la ramai 'anti' dengan masjid.Banyak sangat pantang larangnya.Tak macam karaoke,all are most welcomed!ha ha ha




1 comment:

  1. Thanks bro bagi info baru. Kadang-kadang bila baring dalam masjid pun rasa macam buat salah. Semua orang pakat tengok kita atas bawah.

    ReplyDelete